Pelaksanaan Ibadah Haji Bagi Tahun 1441H Bersamaan 2020M

KENYATAAN MEDIA

PELAKSANAAN IBADAH HAJI BAGI TAHUN 1441H BERSAMAAN 2020M

1. Pelaksanaan ibadah haji adalah antara perkara yang penting dalam merealisasikan Rukun Islam. Wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini, turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah. Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

2. Bertitik tolak daripada hal tersebut, saya telah mengadakan pertemuan bersama TYT Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia pada 7 April 2020. Turut hadir, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai'an, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi; Dato' Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji dan Tuan Haji Ruslan Said, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Ini bagi mendapatkan penjelasan yang tuntas berkenaan isu pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini.

3. Berdasarkan penjelasan TYT Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini.

4. Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini. Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua Kota Suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini. Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Amin.

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
8 APRIL 2020 BERSAMAAN 14 SYAABAN 1441H

https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/3231133790283734



loading

Terima kasih kerana memilih Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd

Sila tunggu sementara kami memuatkan