Sa’ie Umrah: Syarat, Niat, Cara & Doa (Edisi Kemaskini)

Sa’ie adalah syarat wajib umrah di antara Bukit Safa & Bukit Marwah. Ini syarat Sa’ie, niat, cara Sa’ie yang betul & doa Sa’ie. Ini perkongsian mutawif Andalusia Travel.

  • Sa’ie adalah ibadah berjalan ulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwa sebanyak 7 perjalanan
  • Tidak cukup 7 perjalanan boleh menyebabkan umrah tidak sah sepenuhnya dan terikat dengan larangan ihram
  • Kesilapan paling kerap berlaku, tak cukup 7 pusingan, permulaan &  penghujung salah, tidak bermula dari bukit. 
  • Ikuti syarat sah Sa’ie dengan faham perjalanan yang tepat & perkongsian amalan sunat oleh mutawif berpengalaman
  • Ikuti maklumat terkini oleh kerajaan Arab Saudi mengenai kawasan Mas’a (laluan sa’ie)

Apakah Itu Sa’ie Umrah?

Sa’ie Secara Bahasa 

Sa’ie (سَعْي) bermaksud “berusaha,” “bergerak,” atau “berlari dengan niat.” Perkataan ini mengandungi nuansa yang mendalam dan ia bukan sekadar berjalan, tetapi berjalan dengan tujuan dan usaha yang penuh kesungguhan

Sa’ie Secara Maksud (Syarak)

Secara istilah syarak, Sa’ie adalah ibadah berjalan ulang-alik  sebanyak tujuh kali perjalanan yang bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah, dilaksanakan selepas tawaf yang sah, sebagai rukun dalam ibadah umrah atau haji.

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar (tanda-tanda kebesaran) agama Allah. Maka sesiapa yang mengerjakan haji di Baitullah atau berumrah, maka tidak salah baginya bersa’ie di antara kedua-duanya.” (Surah al-Baqarah: 158)

 

Ayat ini menegaskan bahawa sa’ie adalah syiar Islam  lambang agama yang harus dipelihara dan dilaksanakan dengan penuh penghayatan.

Hikmah dan Latar Belakang Sa’ie

Sa’ie bukan ibadah yang lahir tanpa sejarah. Ia adalah pengabadian kisah Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim AS dan ibu Nabi Ismail AS.

Ketika ditinggalkan di lembah Makkah yang tandus dan gersang tanpa air, Siti Hajar berlari-lari dengan penuh tawakkal antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali mencari air untuk bayinya yang kehausan.

Menurut jumhur ulama’ termasuk mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa Sa’ie adalah rukun daripada rukun-rukun umrah dan haji.

Salah Faham & Realiti Perjalanan Sa’ie

Sa’ie Tidak Perlu Wuduk, Jadi Lebih Mudah

Sa’ie tidak mensyaratkan wuduk (berbeza dengan Tawaf). Namun, memandangkan laluan Mas’a berada dalam kompleks Masjidil Haram, jemaah amat digalakkan (afdal) berwuduk sebagai tanda adab.

Bermula dari Marwah Pun Boleh, Sama Saja 7 Kali

Sa’ie mesti bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Jika bermula di Marwah, pusingan pertama tersebut tidak sah dan wajib diulang atau pusingan tersebut dibatalkan dan memulakan semula dair Bukit Safa.

Sa’ie Boleh Buat di Tingkat Atas Sahaja Kalau Sesak Bawah

Sa’ie di tingkat atas dalam bangunan Mas’a adalah sah, asalkan ia dilakukan dalam kawasan laluan yang ditetapkan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Tidak sah jika dilakukan di luar sempadan laluan tersebut.

Wanita Haid Tidak Boleh Buat Sa’ie Langsung

Wanita haid dibenarkan melakukan Sa’ie kerana kawasan Mas’a dianggap bukan sebahagian daripada masjid oleh jumhur ulama. Namun, ia hanya boleh dilakukan selepas Tawaf (yang memerlukan kesucian)

Sa’ie Hanya Sekadar Bersenam, Tidak Sepenting Tawaf

Sa’ie bukan sekadar aktiviti fizikal atau “senaman”. Dalam Mazhab Syafi’i, ia adalah rukun Umrah yang setaraf dengan Tawaf. Jika Sa’ie ditinggalkan, umrah tidak sah.

Realiti Sebenar

Sa’ie adalah ibadah yang menggabungkan usaha fizikal dengan kekhusyukan rohani. Jarak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah lebih kurang 400 – 450 meter, menjadikan jumlah keseluruhan laluan sa’ie sekitar 2.8 – 3.15 kilometer. Bagi jemaah yang pertama kali, ini adalah satu cabaran.

Tetapi ia adalah cabaran yang penuh makna bagi perjalanan spiritual yang luar biasa.

Kemaskini Maklumat Sa’ie 

  • Jemaah umrah Malaysia boleh menggunakan perkhidmatan buggy di Masjidil Haram khususnya untuk ibadah tawaf dan Sa’ie di tingkat 2 (ruang khas)
  • Kemudahan ini amat disyorkan untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), atau jemaah yang memerlukan bantuan pergerakan
  • Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi Tanaqol atau laman web rasmi.
  • Anggaran kos adalah sekitar SAR 100-200 untuk Sa’ie (harga tertakluk kepada perubahan)

Maklumat Terkini dari Arab Saudi

  • Arab Saudi menerima 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara pada 2025
  • Naik taraf kawasan Mas’a (tempat Sa’ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah) secara besar-besaran, penambahan lebar kepada 40 meter dan jumlah tingkat kepada empat, membolehkan kapasiti 118,000 orang sejam sebagai sebahagian daripada Projek Pengembangan Masjidil Haram.
  • Kini merangkumi bangunan bertingkat dengan laluan berasingan untuk OKU, laluan khas kerusi roda, penanda lampu hijau yang jelas untuk kawasan sunat berlari, dan bekalan air Zamzam di sepanjang perjalanan Sa’ie.
  • Semua ini memudahkan jemaah, tetapi juga membawa tanggungjawab bagi jemaah serta mutawif berpengalaman untuk memahami had kawasan sah laluan Sa’ie.

Syarat-Syarat Sah Sa’ie Umrah

Berdasarkan panduan dan pegangan jemaah Malaysia, terdapat 6 syarat sah Sa‘ie yang wajib dipenuhi oleh setiap jemaah agar ibadah yang dilakukan diterima sebagai sebahagian daripada rukun umrah iaitu:

Dilakukan Selepas Tawaf yang Sah

Sa’ie mestilah dilakukan selepas mengerjakan tawaf rukun (tawaf umrah) atau tawaf qudum  (bagi haji Ifrad atau Qiran) yang sah. 

Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah

Perjalanan pertama mesti bermula dari Bukit Safa dan berakhir di  Bukit Marwah. Ini adalah syarat wajib dan tidak boleh bermula dari Bukit Marwah.

Cukup Tujuh Kali Berulang Alik Dengan Yakin

Mestilah cukup 7 kali berulang-alik dengan yakin. Perjalanan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira sekali, dan dari Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali.

Sampai Ke Penghujung Setiap Bukit

Setiap perjalanan mesti sampai ke penghujung tempat Sa’ie  di kaki Bukit Marwah dan Bukit Safa pada setiap pusingan.

Dilakukan di Kawasan Mas’a yang Ditetapkan

Sa’ie mesti dilakukan di laluan mas’a yang terletak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dalam kawasan bangunan yang ditetapkan. Tidak sah jika dilakukan di luar kawasan tersebut.

Mengekalkan Niat sa’ie Sepanjang Masa

Jemaah perlu mengekalkan niat Sa’ie sepanjang ibadah tersebut dilakukan.

 

 

Perlaksanaan: Cara Sa’ie Umrah Langkah Demi Langkah

Persediaan Sebelum Sa’ie

Selepas menyelesaikan tawaf umrah dan solat sunat tawaf, minum air Zamzam sambil berdoa. Ini adalah sunnah yang sangat digalakkan. Kemudian bergerak menuju kawasan Mas’a (laluan Sa’ie) yang terletak berhampiran dengan kawasan tawaf di Masjidil Haram. 

Semasa menghampiri Bukit Safa, bacalah:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

“Innash-shafā wal-marwata min sha’ā’irillāh.”

Maksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar agama Allah.” (Surah al-Baqarah: 158)

 

1. Niat Sa’ie di Bukit Safa 

Naik ke kawasan Bukit Safa, hadapkan badan ke arah Kaabah, dan lafazkan niat sa’ie dalam hati:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَسْعَى بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ سَعْيَ الْعُمْرَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Allāhumma innī urīdu an as’ā bainas-shafā wal-marwati sab’ata ashwāṭin sa’yal-‘umrati lillāhi ta’ālā.”

Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku hendak mengerjakan sa’ie antara Safa dan Marwah tujuh kali sebagai sa’ie umrah kerana Allah Ta’ala.”

 

2. Sebelum Memulakan Perjalanan

Selepas berniat, di atas Bukit Safa sebelum memulakan perjalanan, angkat tangan ke arah Kaabah (seperti berdoa) dan bacalah zikir takbir dan tahlil sambil berdoa:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

“Allāhu Akbar, Allāhu Akbar, Allāhu Akbar, wa lillāhil-ḥamd.”

Maksud: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah”

 

Kemudian berdoa dengan doa bebas dan ini adalah antara saat mustajab doa semasa ibadah umrah.

3. Ketika Memulakan Perjalanan Saie

Perjalanan 1: Safa → Marwah

Turun dari kawasan Safa dan mulakan perjalanan menuju Marwah. Berjalan dengan tenang sambil membaca doa, zikir, atau ayat al-Quran mengikut keselesaan.

 لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

 لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Laa iLaHa ilLallah WahDahu Laa SyaRiiKa-LaHu, LaHul-MulKu Wa LaHul HamDu WaHuWa ‘Alaa Kulli Sya’in Qodir Laa iLaHa ilLaallaHu WahDaHu AnJaZa Wa’DaHu WaNaSoRo ‘AbDahu Wa HaZaMal-AhZaaBa WahDahu”

Maksud: “Tiada tuhan selain Allah yang esa, tiada sekutu bagiNya, milikNya kerajaan dan pujian dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tiada tuhan selain Allah yang esa, Dia melaksanakan janjiNya, dia menolong hambaNya dan Dia mengalahkan bala pakatan tentera musuh dengan sendiriNya.”

Kawasan Lampu Hijau :  Sunat Berlari bagi Lelaki

Apabila sampai di kawasan lampu hijau semasa saie (antara dua tanda hijau),

  • Jemaah wanita: Berjalan biasa sepanjang perjalanan dan tidak perlu berlari.
  • Jemaah OKU / kerusi roda: Gunakan laluan khas yang disediakan; Sa’ie tetap sah.
  • Jemaah lelaki: Sunat berlari-lari anak (bukan berlari laju) di antara dua lampu hijau ini.

Dan membaca doa ini setiap kali sampai di kawasan lampu hijau:

رَبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ وَاعْفُ وَتَكَرَّمْ وَتَجَاوَزْ عَمَّا تَعْلَمُ إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا لَا نَعْلَمُ إِنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ الْأَعَزُّ الْأَكْرَمُ
 “Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-’azzul AkRam”.
Maksud: “Ya Allah! Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.”

 

Selepas melepasi lampu hijau kedua, sambung berjalan biasa sehingga sampai ke kawasan Marwah.

Di Bukit Marwah : Selesai Perjalanan Pertama

Apabila tiba di kawasan Marwah, hadapkan badan ke arah Kaabah, angkat tangan, dan baca zikir serta doa seperti yang dilakukan di Safa.

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

“Allāhu Akbar, Allāhu Akbar, Allāhu Akbar, wa lillāhil-ḥamd.”

Maksud: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah”

 

Ini menandakan selesainya perjalanan pertama (1/7).

Perjalanan 2 hingga 6 Marwah ↔ Safa

Ulangi perjalanan dengan cara yang sama, bergilir antara Bukit Marwah dan Bukit Safa:

  • Perjalanan 2: Bukit Marwah → Bukit Safa
  • Perjalanan 3: Bukit Safa → Bukit Marwah
  • Perjalanan 4: Bukit Marwah → Bukit Safa
  • Perjalanan 5: Bukit Safa → Bukit Marwah
  • Perjalanan 6: Bukit Marwah → Bukit Safa

Pada setiap kali tiba di Bukit Safa atau Bukit Marwah, disunatkan menghadap Kaabah, mengangkat tangan, dan berdoa.

Tiada doa khusus yang wajib untuk setiap perjalanan. Rasulullah ﷺ tidak menetapkan bacaan tertentu sepanjang Sa’ie dan jemaah boleh membaca doa bebas, zikir, selawat, atau ayat al-Quran yang mudah. Inilah masa terbaik untuk berdoa memohon apa yang paling anda hajati kepada Allah.

3. Terakhir Perjalanan 7: Bukit Safa → Bukit Marwah 

Perjalanan ketujuh bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Ini adalah tanda sempurnanya Sa’ie umrah.

Apabila tiba di Bukit Marwah buat kali terakhir, berdoalah dengan penuh syukur. Bacaan yang disunatkan selepas tamat Sa’ie:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا وَعَافِنَا وَاعْفُ عَنَّا وَعَلَى طَاعَتِكَ وَشُكْرِكَ أَعِنَّا وَعَلَى غَيْرِكَ لَا تَكِلْنَا وَعَلَى الْإِيْمَانَ وَالْإِسْلَامِ الكَامِل جَمِيْعًا تَوَفَّنَا وَأَنْتَ رَاضٍ عَنَّا اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِيْ أَبَدًا مَا أَبْقَيْتَنِيْ وَارْحَمْنِيْ أَنْ أَتَكَلَّفَ مالايَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسَنَ النَّظَرِ فِيْمَا يُرْضِيْكَ عَنِّي يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

“Rabbana Taqabbal Minna Wa’afina Wa’fu Anna Wa’ala Ta’atika Washukrika A’inna Wa’ala Ghairika La Takilna Wa’ala Al-Imaani Wal-Islami Al-Kamili Jam’an Tawaffana Wa’anta Raadhi Anna. Allahumma Irhamni Bitarkil Ma’asi Abadan Ma Abqaitani Wa’irhamni An Atakallafa Ma La Ya’nini Warzuqni Husnan Nazari Fima Yurdiika Anni Ya Arhama Ar-Rahimiin.”

Maksud: “Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon diterima doa kami, afiatkanlah dan ampunilah kami. Berilah pertolongan kepada kami untuk taat dan bersyukur kepada-Mu, janganlah membiarkan kami bergantung kepada yang lain selain dari-Mu. Matikanlah kami di dalam iman dan Islam yang sempurna, sedang Engkau redha kepada kami. Ya Allah Ya Tuhan, peliharalah diriku dengan meninggalkan segala kejahatan selama hidupku dan peliharalah aku supaya tidak membuat perkara yang tidak memberi guna dan kurniakanlah kepadaku elok pandangan kepada perkara-perkara yang membawa keredhaan-Mu wahai Tuhan yang bersifat Amat Belas Kasihan.”

 

4. Selepas Sa’ie : Teruskan ke Tahallul

Setelah selesai tujuh perjalanan Sa’ie, jemaah boleh terus ke rukun terakhir umrah iaitu tahallul, bergunting atau bercukur untuk melepaskan diri dari larangan ihram.

Jemaah lelaki lebih afdal bercukur kepala sepenuhnya (halq), tetapi bergunting (taqshir) juga dibenarkan. Wanita cukup menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Nota penting: Jangan bertahallul sebelum Sa’ie selesai sepenuhnya, ini adalah larangan yang serius dan boleh menyebabkan dam.

 

Amalan Sunat Semasa Sa’ie

Antara amalan sunat yang digalakkan semasa Sa’ie:

  1. Berwuduk Sebelum Sa’ie:  Berwuduk bukan syarat sah sa‘ie, tetapi lebih afdal dan lebih baik sebagai adab beribadah.
  2. Naik atau berada di kawasan Safa dan Marwah: Jemaah disunatkan berada di kawasan Safa dan Marwah setiap kali tiba, sekadar yang mampu.
  3. Menghadap Kaabah dan berdoa: Apabila tiba di Safa atau Marwah, sunat menghadap ke arah Kaabah, mengangkat tangan, berzikir dan berdoa.
  4. Berlari-lari anak bagi lelaki: Jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak di antara dua lampu hijau. Jemaah wanita berjalan seperti biasa.
  5. Berdoa dan berzikir sepanjang sa‘ie:Jemaah digalakkan memperbanyakkan doa, zikir dan selawat dengan tenang dan khusyuk.
  6. Minum air Zamzam: Minum air Zamzam adalah amalan yang digalakkan, tetapi ia bukan sunat khusus dalam tatacara Sa‘ie.

 

Kesilapan Sa’ie yang Kerap Berlaku

Berikut adalah kesilapan umum dalam Sa’ie yang perlu dielakkan:

  1. Bermula dari Bukit Marwah bukan Bukit Safa: Ini menyebabkan pengiraan perjalanan menjadi enam, bukan tujuh. Pastikan bermula dari Bukit Safa.
  2. Tidak Sampai ke Penghujung Bukit Safa atau Bukit Marwah:  Berhenti sebelum penghujung kawasan yang ditetapkan menyebabkan perjalanan tidak sempurna. Ikuti penanda “Start” / “End” yang ditanda jelas dalam bangunan Mas’a.
  3. Salah Mengira Perjalanan Ramai yang menganggap Safa ke Marwah dan balik (dua hala) adalah satu pusingan. Sebenarnya, Bukit Safa ke Bukit Marwah adalah SATU perjalanan, dan Bukit Marwah ke Bukit Safa adalah perjalanan KEDUA.
  4. Bertahallul Sebelum Sa’ie Sempurna Ini adalah kesilapan serius yang memerlukan dam. Pastikan Sa’ie betul-betul selesai tujuh perjalanan sebelum bergunting atau bercukur.
  5. Melakukan Sa’ie di Luar Kawasan Mas’a Berjalan di luar bangunan Mas’a atau menggunakan laluan lain yang bukan laluan rasmi menjadikan sa’ie tidak sah.
  6. Berhenti Lama Tanpa Sebab Jika berhenti lama tanpa sebab yang dibenarkan (seperti solat fardhu), ini boleh mempengaruhi kesinambungan (muwalat) sa’ie. Walau bagaimanapun, muwalat adalah sunat, bukan wajib. Jika terpaksa berhenti, sambung dari titik terakhir.

Alhasil, jemaah yang risau tentang dosa lampau supaya tidak takut pergi Umrah, kerana Rasulullah SAW mengajar bahawa pintu taubat sentiasa terbuka dan Umrah adalah peluang mendapat maghfirah (keampunan) Allah.

“Pergilah menunaikan umrah tanpa rasa takut. Ibadah ini adalah medium untuk mendapatkan keampunan dan rahmat Allah…”

Soalan Lazim (FAQ) Tentang Sa’ie Umrah

Jika berhenti rehat semasa Sa’ie?

Tidak perlu ulang dari awal. Boleh sambung dari tempat berhenti. Jika terlalu lama berhenti, rujuk mutawif.

Bolehkah wanita yang sedang haid melakukan sa’ie?

Ya, berdasarkan pandangan jumhur ulama termasuk mazhab Syafi’i, wanita yang sedang haid boleh melakukan Sa’ie kerana kawasan Mas’a bukan sebahagian daripada Masjidil Haram. Namun, Sa’ie mesti dilakukan selepas tawaf yang sah

Apa cara kiraan perjalanan sa’ie dengan tepat supaya tidak tersalah kira?

Untuk kira Sa’ie dengan betul, gunakan jari atau tasbih sebagai panduan. Setiap kali sampai ke hujung Safa atau Marwah, itu dikira satu perjalanan. Perjalanan ganjil (1, 3, 5, 7) berakhir di Marwah, manakala perjalanan genap (2, 4, 6) berakhir di Safa. Pastikan perjalanan terakhir berakhir di Marwah.

Adakah sa’ie boleh dilakukan pada hari berikutnya selepas tawaf jika terlalu penat?

Boleh. Tapi masih dalam ihram → larangan ihram masih berlaku.

Jika saya terlupa kiraan Sa’ie, apa yang perlu saya buat?

Ambil angka yang paling pasti, kemudian tambah cukupkan 7. Lebih baik lebih daripada kurang.

Kesimpulan

Sa’ie bukan sekadar berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Ia mengingatkan kita kepada usaha dan tawakkal Siti Hajar yanfg berusaha dalam kesusahan dan tetap bergantung kepada Allah hingga datang pertolongan-Nya.

Setiap langkah membawa makna di mana usaha tidak sia-sia, sabar akan dibalas, dan pertolongan Allah hadir bagi yang tidak berputus asa. Lakukan Sa’ie dengan betul, bermula di Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah, cukup tujuh perjalanan dengan yakin, dan dalam kawasan mas’a, agar ibadah umrah sah dan diterima.

Rujukan : 

  1. Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Fatwa Khas Haji dan Korban Siri Ke-58: Bolehkah Wanita Haid Melaksanakan Sa‘ie?, 07-05-2026. Akses: https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/5321-irsyad-fatwa-khas-haji-dan-korban-siri-ke-58-bolehkah-wanita-haid-melaksanakan-sa-ie
  2. JAWHAR (Jabatan Wakaf, Zakat & Haji), Panduan Haji dan Umrah, 07-05-2026. Akses: https://www.jawhar.gov.my/haji-dan-umrah/panduan-haji-dan-umrah/
  3. Hisnul Muslim, Invocation to be Recited While Standing at Safa and Marwah, 07-05-2026. Akses: https://hisnmuslim.com/i/en/118
  4. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Perempuan Haid Bersa‘ie, 07-05-2026. Akses: https://zulkiflialbakri.com/artikel/perempuan-haid-bersaie/
  5. Saudi Press Agency (SPA), General Authority for Care of Affairs of Two Holy Mosques Launches Tanaqol App Service for Electric Vehicles, 07-05-2026. Akses: https://www.spa.gov.sa/en/N2102395
  6. General Authority for the Care of the Two Holy Mosques, Unified Mobility Platform / منصة التنقل الموحد, 07-05-2026. Akses: https://carts.alharamain.gov.sa/
  7. Saudi Press Agency (SPA), Saudi Arabia Records Historic Figures, Welcomes 19.5 Million Pilgrims and Umrah Performers in 2025, 07-05-2026. Akses: https://www.spa.gov.sa/en/N2502820
  8. Saudi Press Agency (SPA), Al-Masaa Expansion Facilitates Umrah Rituals, 07-05-2026. Akses: https://www.spa.gov.sa/en/N2069325

Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh:

Dato’ Md. Daud Che Ngah, bekas perawi sirah Nabi di Radio RTM, ahli Forum Perdana, penulis di Utusan Malaysia dan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours.

Kongsikan, moga jadi manfaat bersama.

WhatsApp
Facebook
Telegram
X