Cara Tawaf Umrah : Tertib, Syarat & Doa Tawaf

Ada 7 tertib tawaf umrah mengelilingi Kaabah. Pastikan anda tahu cara tawaf umrah yang betul dan elak kena dam (denda) sewaktu umrah di Tanah Suci

  • Tawaf merupakan rukun kedua dalam umrah yang wajib dilaksanakan dengan betul & tertib
  • Tawaf yang tidak memenuhi syarat & rukun menyebabkan umrah tidak sah / dikenakan dam (denda)
  • Kesilapan Tawaf; batal wuduk tanpa sedar, tidak cukup 7 pusingan & memulakan Tawaf dari titik yang salah.
  • Ikuti 7 tertib Tawaf umrah yang betul, patuhi semua syarat sah & laksanakan amalan sunat untuk memastikan Tawaf maqbul.
  • Semua jemaah perlu menempah slot tawaf melalui aplikasi Nusuk sebelum tiba di Masjidil Haram berdasarkan polisi terkini kerajaan Arab Saudi

Apakah Itu Tawaf Umrah?

Secara Maksud (Syarak)

Tawaf adalah perbuatan mengelilingi Baitullah (Kaabah) sebanyak tujuh pusingan penuh (melawan arah jam).

Ibadah khusus ini bermula dan berakhir di Hajar Aswad, dalam keadaan suci, menutup aurat, dengan Kaabah sentiasa berada di sebelah kiri , dilakukan di dalam kawasan Masjidil Haram.

Tawaf juga merupakan rukun kedua dalam ibadah Umrah. Rasulullah ﷺ bersabda:

 

“Tawaf di Kaabah adalah seperti solat, kecuali Allah membenarkan perbualan di dalamnya.” (HR. al-Tirmizi, Ibnu Hibban)

 

Hadis ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan tawaf dalam Islam, setara dengan solat dari segi tuntutan kesucian dan kekhusyukan.

 

Salah Faham & Stigma Jemaah Malaysia

1. Ada doa khusus untuk setiap pusingan tawaf

Ini adalah salah faham yang biasa. Tiada dalil sahih yang menetapkan doa berbeza bagi setiap pusingan tawaf. Hanya satu doa yang dianjurkan ialah antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad di setiap pusingan:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

 

Selain itu, jemaah bebas berdoa, berzikir atau membaca al-Quran.

2. Tawaf Boleh Berhenti Bila-Bila Masa

Ini tidak tepat. Tawaf perlu dilakukan secara berterusan. Berhenti tanpa sebab boleh menjejaskan tawaf dan mungkin perlu diulang. 

3. Wajib Mencium atau Sentuh Hajar Aswad

Ini salah faham. Mencium Hajar Aswad adalah sunat, bukan wajib. Jika tidak mampu kerana sesak, memadai dengan isyarat tangan sambil mengucapkan “Bismillah, Allahu Akbar”.

Yang penting, tidak menyakiti jemaah lain, kerana itu adalah haram dan lebih berat daripada meninggalkan amalan sunat.

4. Tawaf Atas (Aras 2 atau 3) Tidak Sah

Ini adalah salah faham. Tawaf di tingkat atas tetap sah selagi dilakukan dalam kawasan Masjidil Haram. Jarak dari Kaabah tidak menjejaskan kesahan tawaf. Yang penting, tawaf masih mengelilingi Kaabah dalam kawasan masjid.

Realiti Sebenar

Bagi jemaah yang melakukan Tawaf di tingkat atas atau di kawasan bumbung Masjidil Haram, jarak tujuh pusingan boleh menjadi lebih jauh, sekitar 3.5 km hingga 4 km, bergantung kepada laluan dan tahap kesesakan.

Tempoh Tawaf juga boleh mengambil masa lebih kurang 60 hingga 90 minit, terutama ketika musim puncak atau apabila jemaah bergerak dalam kumpulan.

Namun, perlu difahami bahawa kesahan tawaf bukan dinilai berdasarkan dekat atau jauhnya jarak jemaah dengan Kaabah, tetapi bergantung kepada rukun dan syarat sah Tawaf.

Data & Realiti & Info Terkini Tawaf 

Penggunaan buggy dan wheelchair (kerusi roda) untuk Tawaf dan Sa’ie di Masjidil Haram adalah pilihan utama jemaah Malaysia, terutamanya warga emas atau mereka yang uzur, bagi memudahkan ibadah umrah

Tawaf menggunakan buggy atau kerusi roda biasanya dilakukan di tingkat atas (mezzanine) Masjidil Haram.

Buggy Tawaf: Perkhidmatan buggy khusus untuk tawaf kini disediakan (berbayar) bagi membolehkan jemaah mengelilingi Kaabah dengan lebih selesa.

Kapasiti kawasan Tawaf (Mataf) di Masjidil Haram telah ditingkatkan bagi menampung 107,000 jemaah sejam

Peningkatan ini dicapai melalui projek perluasan yang merangkumi tingkat bawah, tingkat satu, tingkat mezzanine, dan bumbung untuk memastikan keselesaan jemaah

Perkhidmatan kerusi roda percuma disediakan oleh pihak masjid, namun jemaah perlu membawa sendiri (self-service) atau pengiring yang menolak

Syarat-Syarat Sah Tawaf

Ibadah Tawaf mempunyai  beberapa syarat yang perlu dipatuhi dengan teliti agar ianya sah. Antaranya:

  1. Menutup Aurat: Aurat mestilah ditutup sempurna seperti dalam solat.
  2. Suci daripada Hadas: Suci daripada hadas kecil dan besar (wajib berwuduk) sebelum Tawaf.
  3. Kaabah di Sebelah Kiri: Menjadikan Kaabah di sebelah kiri sepanjang tawaf, iaitu tawaf dilakukan mengelilingi Kaabah secara melawan arah jam.
  4. Bermula dan Berakhir di Hajar Aswad: Dengan seluruh badan berada sejajar atau melepasi garisan permulaan tawaf, kemudian setiap pusingan tamat apabila kembali ke Hajar Aswad.
  5. Berniat Tawaf: Berniat tawaf kerana Allah Ta‘ala ketika memulakan tawaf
  6. Tawaf Cukup 7 Pusingan: Dilakukan dengan sempurna 7 pusingan secara yakin.
  7. Dilakukan Di Dalam Masjidil Haram: Sama ada di tingkat bawah, tingkat atas atau bumbung masjid, selagi masih dalam kawasan Masjidil Haram.
  8. Di luar binaan Kaabah : Tawaf di luar keseluruhan Kaabah, termasuk tidak melalui dalam Hijir Ismail dan tidak berada di atas Syazarwan, kerana kedua-duanya termasuk kawasan Kaabah.

 

 

Perlaksanaan: 7 Tertib Cara Tawaf Umrah Yang Betul

Berikut adalah panduan lengkap cara Tawaf umrah mengikut tertib yang betul.

Sebelum Tawaf : Persediaan dan Wajib

1. Pastikan Wuduk Sempurna

Sebelum memasuki Masjidil Haram, hendaklah wuduk dahulu kerana ia diibaratkan seperti solat. Pastikan wuduk tidak batal sepanjang Tawaf.

Jika wuduk batal semasa tawaf, keluar untuk berwuduk semula, kemudian sambung tawaf dari tempat pusingan yang terputus. Yang lebih afdal, sambung semula dari penjuru Hajar Aswad.

2. Menutup Aurat Dengan Sempurna

Aurat hendaklah ditutup sepanjang tawaf. Bagi lelaki, pakai ihram dengan betul. Disunatkan melakukan idhtiba‘ ketika tawaf umrah, iaitu meletakkan kain ihram di bawah ketiak kanan dan menghimpunkan hujung kain di atas bahu kiri.

Bagi wanita, wajib menutup aurat dengan sempurna. Wanita dalam ihram tidak memakai niqab dan sarung tangan, namun tetap menjaga aurat serta kesopanan.

Permulaan : Pusingan Tawaf

Tertib 1: Niat Tawaf

Berdiri di kawasan yang sejajar dengan Hajar Aswad, kemudian niatkan tawaf umrah dalam hati kerana Allah Ta‘ala.

نَوَيْتُ أَنْ أَطُوفَ بِبَيْتِ اللهِ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ الْعُمْرَةِ لِلهِ تَعَالَى

“Nawaitu an aṭūfa bi-baitillāhil-ḥarām sab‘ata ashwāṭin ṭawāfal-‘umrati lillāhi ta‘ālā”

Maksud: “Sahaja aku tawaf di Baitullah al-Haram sebanyak tujuh pusingan, tawaf umrah kerana Allah Ta‘ala.”

Tertib 2: Istilam Hajar Aswad 

Setelah berniat, mulakan Tawaf dari Hajar Aswad. Jika mampu tanpa bersesak dan tanpa menyakiti orang lain, sunat menyentuh dan mencium Hajar Aswad.

Jika tidak mampu, cukup dengan mengangkat atau mengisyaratkan tangan kanan ke arah Hajar Aswad sambil membaca:

بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلِلهِ الْحَمْدُ

“Bismillahi Allahu Akbar Wa Lillahi-Hamd”

Maksud: Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, dan segala pujian adalah milik Allah SWT

 

Istilam dilakukan setiap kali tiba di Hajar Aswad pada permulaan pusingan.

Setelah Istilam, teruskan lakukan Tawaf mengelilingi Kaabah.

Tertib 3: Ramal (Bagi Lelaki di  3 Pusingan Pertama)

Bagi jemaah lelaki, sunat melakukan ramal dalam tiga pusingan pertama, iaitu berjalan agak laju dengan langkah yang pendek dan rapat.

Empat pusingan selebihnya (4, 5, 6, 7) dilakukan dengan berjalan biasa. Bagi wanita berjalan biasa sepanjang ketujuh-tujuh pusingan.

Tertib 4: Mengelilingi Kaabah Dengan Kaabah Di Sebelah Kiri

Sepanjang tawaf, Kaabah hendaklah berada di sebelah kiri jemaah. Tawaf dilakukan mengelilingi Kaabah secara melawan arah jam.

Ini termasuk syarat sah Tawaf, bukan sekadar adab.

Tertib 5: Mengusap Rukun Yamani 

Apabila sampai di Rukun Yamani (penjuru ketiga Kaabah), sunat mengusapnya dengan tangan kanan jika mampu tanpa bersesak.

Jika tidak mampu, tidak perlu mengisyaratkan tangan ke arah Rukun Yamani. Teruskan berjalan seperti biasa.

Tertib 6: Doa Antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad

Antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad, sunat membaca doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Rabbanā ātinā fid-dunyā ḥasanatan wa fil-ākhirati ḥasanatan wa qinā ‘adhāban-nār.”

Maksud: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksaan neraka.” (Surah al-Baqarah: 201)

 

Selain doa ini, jemaah boleh membaca doa bebas, zikir, selawat atau ayat al-Quran sepanjang Tawaf.

Tertib 7 : Selesaikan 7 Pusingan Penuh

Tawaf mesti dilakukan sebanyak tujuh pusingan penuh, bermula dan berakhir di kawasan Hajar Aswad.

Setiap kali kembali ke kawasan Hajar Aswad, satu pusingan dikira selesai. Jika ragu-ragu bilangan pusingan, ambil kiraan yang lebih sedikit dan cukupkan tujuh pusingan dengan yakin.

 

Selepas Tawaf : Amalan Yang Digalakkan

Solat Sunat Tawaf (2 Rakaat)

Selepas selesai tujuh pusingan, disunatkan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim (jika mungkin). Jika sesak, solat di mana-mana tempat dalam Masjidil Haram adalah memadai.

Minum Air Zamzam & Berdoa

Selepas solat sunat tawaf, sunnah minum air zamzam dan berdoa. Inilah saat yang sangat mustajab, minumlah dengan niat yang jelas dan berdoalah dengan sungguh-sungguh.

Teruskan ke Sa’ie

Seterusnya, lakukan Sa’ie antara  Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali sebagai rukun umrah.

 

Kesilapan Tawaf Sering Dilakukan Parah Jemaah : 

Berikut adalah kesilapan umum yang boleh menjejaskan kesahan Tawaf yang perlu dielakkan oleh jemaah:

1. Batal Wuduk Semasa Tawaf Tanpa Memperbaharui

Jika wuduk batal, jemaah hendaklah berhenti, keluar mengambil wuduk semula, kemudian menyambung tawaf dengan betul. Tawaf tanpa wuduk tidak sah menurut pegangan mazhab Syafi‘i.

2. Berjalan Dalam Hijir Ismail 

Tawaf mesti dilakukan di luar keseluruhan binaan Kaabah, termasuk di luar Hijir Ismail. Jika jemaah melalui dalam Hijir Ismail, pusingan tersebut tidak sah dan perlu diulang.

3. Tidak Cukup 7 Pusingan

Tawaf hendaklah cukup tujuh pusingan dengan yakin. Jika kurang tujuh, tawaf belum sempurna. Jika jemaah sudah bertahallul sebelum tawaf dan sa‘ie sempurna, dam boleh dikenakan.

4. Menutup Muka (Bagi Wanita) Semasa Tawaf 

Wanita tidak boleh memakai purdah atau pelitup muka semasa dalam ihram kecuali dalam keadaan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

5. Tawaf Tanpa Wuduk (Terlupa) 

Wuduk ialah syarat sah tawaf menurut mazhab Syafi‘i. Jika jemaah menyedari tawaf dilakukan tanpa wuduk, jangan membuat keputusan sendiri; segera rujuk mutawif atau pihak berautoriti untuk tindakan yang betul

 

Dato’ Md. Daud juga berpesan kepada seluruh jemaah dalam kursus umrah beliau:

“Doakan saudara dan saudari dalam kesejahteraan dan dipilih sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji dan dianugerahkan umrah maqbullah dan haji mabrur.”

 

5 Soalan Lazim Tentang Tawaf Umrah

1. Jika batal wuduk masa tawaf, perlu ke start dari awal?

Tidak perlu ulang dari awal. Ambil wuduk semula, kemudian sambung dari pusingan terakhir yang telah lengkap. Jika batal di tengah pusingan,  pusingan tidak dikira dan perlu ulang semula dari garisan Hajar Aswad.

2. Adakah wanita haid boleh bertawaf?

Tidak boleh. Tawaf memerlukan keadaan suci daripada hadas besar. Jemaah wanita perlu menunggu sehingga suci sebelum menyempurnakan Tawaf.

3. Bolehkah tawaf dilakukan di tingkat atas Masjidil Haram?

Ya, sah. Tawaf boleh dilakukan di mana-mana aras dalam Masjidil Haram selagi masih mengelilingi Kaabah dan berada dalam kawasan Tawaf.

4. Berapa lama masa yang diperlukan untuk tawaf?

Ia bergantung kepada kesesakan. Jarak tujuh pusingan boleh menjadi lebih jauh, sekitar 3.5 km hingga 4 km, bergantung kepada laluan dan tahap kesesakan.

Tempoh Tawaf juga boleh mengambil masa lebih kurang 60 hingga 90 minit, terutama ketika musim puncak atau apabila jemaah bergerak dalam kumpulan.

5. Jika terlupa bilangan pusingan tawaf, apa yang perlu dibuat?

Ambil bilangan yang paling pasti, kemudian tambah sehingga cukup tujuh pusingan. Ini bagi memastikan tawaf sah dan lengkap.

Kesimpulan

Tawaf umrah bukan sekadar berjalan tujuh pusingan, tetapi ibadah yang menuntut ilmu, niat yang ikhlas dan kepatuhan kepada syarat.

Teliti syarat, tertib and amalan sunat Tawaf umrah agar semuanya dilaksanakan dengan ilmu dan kekhusyukan. Bawa ilmu, bawa doa, dan bawa keyakinan bahawa  Tawaf akan diterima Allah SWT.

Bimbingan mutawif yang berpengalaman juga penting bagi memastikan ibadah dilaksanakan dengan betul dan sempurna.

Rujukan : 

    1. JAWHAR.  Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji. Panduan Haji dan Umrah. Akses: 08-05-2026. https://www.jawhar.gov.my/haji-dan-umrah/panduan-haji-dan-umrah/
    2. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. AL-KAFI #1541: Adakah Sah Sekiranya Membawa Beg Berisi Kasut Ketika Mengerjakan Tawaf. Akses: 08-05-2026. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4018-al-kafi-1541-adakah-sah-sekiranya-membawa-beg-berisi-kasut-ketika-mengerjakan-tawaf
    3. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad al-Fatwa Khas Haji dan Korban Siri ke-79: Penjelasan Isu Memegang Kaabah Ketika Tawaf. Akses: 08-05-2026. https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/5725-irsyad-al-fatwa-khas-haji-dan-korban-siri-ke-79-penjelasan-isu-memegang-kaabah-ketika-tawaf-bagi-amalan-umrah-yang-telah-lepas

 

  1. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad al-Fatwa Khas Haji dan Korban Siri ke-68: Hukum Memakai Pelitup Muka Ketika Dalam Ihram. Akses: 08-05-2026. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/5336-irsyad-al-fatwa-khas-haji-dan-korban-siri-ke-68-hukum-memakai-pelitup-muka-ketika-dalam-ihram
  2. Jabatan Mufti Negeri Selangor. Hukum Tawaf Tanpa Wuduk / Wuduk Sebagai Syarat Sah Tawaf. Akses: 08-05-2026. https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=6169
  3. Saudi Press Agency. General Authority for Care of Affairs of Two Holy Mosques Launches Tanaqol App for Easy Electric Vehicle Booking at Grand Mosque. Akses: 08-05-2026. https://www.spa.gov.sa/en/N2102395

 

Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh:

Dato’ Md. Daud Che Ngah, bekas perawi sirah Nabi di Radio RTM, ahli Forum Perdana, penulis di Utusan Malaysia dan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours.

Kongsikan, moga jadi manfaat bersama.

WhatsApp
Facebook
Telegram
X